With Allah’s love
Assalamualykum my
dear darling
Petang ni terasa
ingin Cleo kongsikan satu kisah, yang Cleo terbaca masa nak cari isi untuk penulisan proposal Cleo. Tak pasti kesahihan kisah ni tapi cukup lah
buat iktibar bagi mereka yg terlintas membuang atau menggugurkan anak kandungan
sendiri (andai ada antara pembaca yg berniat begitu, bacalah sehingga akhir
kisah).
* * *
Peristiwa ini
mengisahkan tentang seorang gadis tak berdosa yang dikuburkan hidup-hidup. Orang
daripada suku Bani Tamim pada zaman Arab Jahiliyah sangat gemar melakukan
perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan ini. Ketua suku Banu Tamim, iaitu Qais
bin ‘Asim, setelah memeluk Islam mengaku kepada Rasulullah SAW:
“Wahai pesuruh
Allah, ketika aku berada di tempat yang jauh dari rumah dalam sebuah
perjalanan, isteriku telah melahirkan anak perempuan. Memanfaatkan kesempatan
kerana kepergianku, kerana dorongan nalurinya, ibunya menyusuinya selama
beberapa hari. Setelah beberapa hari takut aku akan menguburkannya hidup-hidup
dia mengirimkan anak tersebut kepada saudara wanitanya untuk dipelihara. Ketika
aku pulang dari perjalanan aku diberitahu bahawa isteriku telah melahirkan bayi
yang telah mati. Dengan demikian persoalan tersebut tertangguh. Anak tersebut
tetap dalam pemeliharaan dan dibesarkan oleh makciknya selama beberapa tahun. Pada
suatu ketika, aku pergi dari rumah sepanjang hari. Mengira bahawa aku pergi
untuk waktu yang lama, isteriku beranggapan tentunya aman untuk memanggil anak
perempuannya untuk menikmati berkumpul dengannya beberapa waktu selama
kepergianku.
Tiba-tiba aku
mengubah fikiranku dan pulang ke rumah lebih cepat daripada yang diperkirakan. Ketika
aku memasuki rumah, aku melihat seorang gadis kecil yang sangat cantik dan rapi
bermain-main di rumah. Ketika aku melihat kepadanya, tiba-tiba muncul dalam
diriku perasaan cinta yang tumbuh dengan tiba-tiba terhadapnya. Isteriku juga
merasakan bahawa perasaanku dan yakin bahawa telah tumbuh cinta dan kasih sayang
seorang bapa kepada anaknya dalam diriku terhadap anak tersebut. Aku bertanya
kepada isteriku, “Wahai isteriku yang baik, anak siapakah ini? Betapa comelnya
dia.”
Kemudian, isteriku
bercerita kepadaku semuanya tentang anak tersebut. Aku tidak dapat mengawal diriku,
dengan perasaan aku mengendongnya. Ibunya berkata kepadaku bahawa aku adalah
bapanya dan anak tersebut mulai sangat mencintaiku dan sesekali memanggilku, “Wahai
bapaku, wahai bapaku.” Pada saat itu, aku merasakan kebahagiaan yang tak dapat
terlukiskan. Aku memeluknya sementara dia melingkarkan tangannya pada leherku.
Hari demi hari berlalu dalam suasana seperti itu, dan anakku tetap dipelihara
dan bebas dari kekhuatiran dan ketakutan. Tetapi, pada suatu saat, ketika aku
memperhatikan dirinya, berbagai-bagai fikiran menghampiri diriku. Aku akan
menjadi seorang bapa mertua seandainya dia ku berikan kepada seseorang untuk
dinikahi. Aku akan mengalami kehinaan kerana anak wanitaku menjadi isteri
seseorang.
Bagaimana mungkin
aku sanggup berhadapan dengan orang? Semua kehormatan dan harga diriku akan
runtuh. Fikiran ini menghantui diriku dan terus-menerus menyeksaku. Akhirnya,
fikiran ini menimbulkan kegusaranku sehingga aku benar-benar telah hilang
kesabaran. Kemudian, aku pun memutuskan untuk menghilangkan cela yang memalukan
dan membuat hina bagiku dan nenek moyangku ini. Aku memutuskan akan mengubur
anakku hidup-hidup.
Aku meminta
isteriku agar anak gadisku bersiap-siap kerana aku akan mengajaknya untuk
berpesta denganku. Isteriku memandikannya, memakaikan pakaian yang indah, dan
memerintahkannya agar pergi denganku. Si gadis kecil itu pun sangat senang
kerana mengira bahawa dia akan menemani bapanya pada acara yang membahagiakan. Aku
mengajaknya pergi ke hutan. Anak itu pergi denganku dengan melompat-lompat
kerana keriangan. Dia memegang tanganku, dan berjalan mendahuluiku. Dia banyak
berbicara kerana keriangan dan tertawa-tawa.
Tetapi, aku telah
menjadi buta melihat keriangan dan tingkah lakunya yang tak berdosa itu, dan
aku tidak sabra agar segera terbebas daripadanya secepat mungkin. Gadis malang
itu benar-benar tidak sedar akan maksud jahatku, dia mengikutiku dengan
kegirangan. Akhirnya, aku berhenti di tempat yang indah dan mulai menggali
tanah. Gadis tidak berdosa itu hairan melihat diriku melakukan hal itu dan
berulang kali bertanya, “Ayah, kenapa engkau menggali tanah?” Tetapi aku tidak
menghiraukan pertanyaannya. Bagaimana mungkin dia mengetahui bahawa aku sedang
menggali lubang untuk mengubur anak wanitaku sendiri yang periang dan cantik
dalam lubang itu dengan tanganku sendiri. Pada saat menggali tanah, debu-debu
pun mengotori kaki dan pakaianku. Anakku membersihkan debu itu dari kaki dan
pakaianku dan berkata, “Ayah, engkau telah mengotori pakaianmu.” Tetapi aku
bagaikan seorang yang tuli, bahkan tidak menghiraukan untuk melihat kepadanya
seakan-akan aku tidak mendengarnya sama sekali. Aku menggali lubang yang cukup
besar agar tujuanku tercapai. Kemudian, dengan sedihnya aku melempar anak tak
berdosa itu ke dalam lubang dan segera menimbunnya.
Anak yang malang
itu melihat kepadaku dengan ketakutan dan kehairanan. Dengan penuh ketakutan,
dia berteriak dan menangis, “Ayah, ayahku sayang, apa ini? Apa yang engkau
lakukan, aku sama sekali tidak melakukan kesalahan apapun. Ayah, tolong ayah,
kenapa engkau menyembunyikan ku di tanah?” Tetapi aku tetap melakukan
pekerjaanku bagaikan orang yang bisu, tuli, dan buta tanpa sedikitpun menaruh
perhatian terhadap permohonannya dan pujukannya. Wahai Rasulullah, aku terlalu
kejam dan keji dan tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadapnya.
Sebaliknya setelah mengubur anakku hidup-hidup, aku mendesah dengan perasaan
lega dan merasa puas kerana kehormatanku dan harga diriku telah selamat
daripada kehinaan.
* * *
Walaupun kisah ini
tidak dipastikan sahih atau tidak, tetapi bagi Cleo, cukuplah kita mengetahui
kisah ini sebagaimana kita mengetahui adat jahiliyah yang menanam anak-anak
perempuan mereka hidup-hidup. Kerana apa? Hanya kerana menjaga maruah dan nama
baik keturunan masing-masing. Jadi, bagi anda yang terlintas di hati untuk
membuang anak kandungan sendiri, apakah anda lebih hina dari mereka yang jahil
dahulu?
Cukup dengan kisah
ini, telah membuatkan hati Cleo rasa terkilan teringatkan bayi-bayi yang kalian
lempar merata-rata. Moga Allah ampuni kalian.
Sayu
Cleo
~ Creating Ideas, Developing Words ~