Tuesday, May 28, 2013

[ Andai Bisa Diulang Semula ]


With Allah’s love
Assalamualykum my dear darling


Petang ni terasa ingin Cleo kongsikan satu kisah, yang Cleo terbaca masa nak cari isi untuk penulisan proposal Cleo. Tak pasti kesahihan kisah ni tapi cukup lah buat iktibar bagi mereka yg terlintas membuang atau menggugurkan anak kandungan sendiri (andai ada antara pembaca yg berniat begitu, bacalah sehingga akhir kisah).

* * *

Peristiwa ini mengisahkan tentang seorang gadis tak berdosa yang dikuburkan hidup-hidup. Orang daripada suku Bani Tamim pada zaman Arab Jahiliyah sangat gemar melakukan perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan ini. Ketua suku Banu Tamim, iaitu Qais bin ‘Asim, setelah memeluk Islam mengaku kepada Rasulullah SAW:

“Wahai pesuruh Allah, ketika aku berada di tempat yang jauh dari rumah dalam sebuah perjalanan, isteriku telah melahirkan anak perempuan. Memanfaatkan kesempatan kerana kepergianku, kerana dorongan nalurinya, ibunya menyusuinya selama beberapa hari. Setelah beberapa hari takut aku akan menguburkannya hidup-hidup dia mengirimkan anak tersebut kepada saudara wanitanya untuk dipelihara. Ketika aku pulang dari perjalanan aku diberitahu bahawa isteriku telah melahirkan bayi yang telah mati. Dengan demikian persoalan tersebut tertangguh. Anak tersebut tetap dalam pemeliharaan dan dibesarkan oleh makciknya selama beberapa tahun. Pada suatu ketika, aku pergi dari rumah sepanjang hari. Mengira bahawa aku pergi untuk waktu yang lama, isteriku beranggapan tentunya aman untuk memanggil anak perempuannya untuk menikmati berkumpul dengannya beberapa waktu selama kepergianku.

Tiba-tiba aku mengubah fikiranku dan pulang ke rumah lebih cepat daripada yang diperkirakan. Ketika aku memasuki rumah, aku melihat seorang gadis kecil yang sangat cantik dan rapi bermain-main di rumah. Ketika aku melihat kepadanya, tiba-tiba muncul dalam diriku perasaan cinta yang tumbuh dengan tiba-tiba terhadapnya. Isteriku juga merasakan bahawa perasaanku dan yakin bahawa telah tumbuh cinta dan kasih sayang seorang bapa kepada anaknya dalam diriku terhadap anak tersebut. Aku bertanya kepada isteriku, “Wahai isteriku yang baik, anak siapakah ini? Betapa comelnya dia.”

Kemudian, isteriku bercerita kepadaku semuanya tentang anak tersebut. Aku tidak dapat mengawal diriku, dengan perasaan aku mengendongnya. Ibunya berkata kepadaku bahawa aku adalah bapanya dan anak tersebut mulai sangat mencintaiku dan sesekali memanggilku, “Wahai bapaku, wahai bapaku.” Pada saat itu, aku merasakan kebahagiaan yang tak dapat terlukiskan. Aku memeluknya sementara dia melingkarkan tangannya pada leherku. Hari demi hari berlalu dalam suasana seperti itu, dan anakku tetap dipelihara dan bebas dari kekhuatiran dan ketakutan. Tetapi, pada suatu saat, ketika aku memperhatikan dirinya, berbagai-bagai fikiran menghampiri diriku. Aku akan menjadi seorang bapa mertua seandainya dia ku berikan kepada seseorang untuk dinikahi. Aku akan mengalami kehinaan kerana anak wanitaku menjadi isteri seseorang.

Bagaimana mungkin aku sanggup berhadapan dengan orang? Semua kehormatan dan harga diriku akan runtuh. Fikiran ini menghantui diriku dan terus-menerus menyeksaku. Akhirnya, fikiran ini menimbulkan kegusaranku sehingga aku benar-benar telah hilang kesabaran. Kemudian, aku pun memutuskan untuk menghilangkan cela yang memalukan dan membuat hina bagiku dan nenek moyangku ini. Aku memutuskan akan mengubur anakku hidup-hidup.

Aku meminta isteriku agar anak gadisku bersiap-siap kerana aku akan mengajaknya untuk berpesta denganku. Isteriku memandikannya, memakaikan pakaian yang indah, dan memerintahkannya agar pergi denganku. Si gadis kecil itu pun sangat senang kerana mengira bahawa dia akan menemani bapanya pada acara yang membahagiakan. Aku mengajaknya pergi ke hutan. Anak itu pergi denganku dengan melompat-lompat kerana keriangan. Dia memegang tanganku, dan berjalan mendahuluiku. Dia banyak berbicara kerana keriangan dan tertawa-tawa.

Tetapi, aku telah menjadi buta melihat keriangan dan tingkah lakunya yang tak berdosa itu, dan aku tidak sabra agar segera terbebas daripadanya secepat mungkin. Gadis malang itu benar-benar tidak sedar akan maksud jahatku, dia mengikutiku dengan kegirangan. Akhirnya, aku berhenti di tempat yang indah dan mulai menggali tanah. Gadis tidak berdosa itu hairan melihat diriku melakukan hal itu dan berulang kali bertanya, “Ayah, kenapa engkau menggali tanah?” Tetapi aku tidak menghiraukan pertanyaannya. Bagaimana mungkin dia mengetahui bahawa aku sedang menggali lubang untuk mengubur anak wanitaku sendiri yang periang dan cantik dalam lubang itu dengan tanganku sendiri. Pada saat menggali tanah, debu-debu pun mengotori kaki dan pakaianku. Anakku membersihkan debu itu dari kaki dan pakaianku dan berkata, “Ayah, engkau telah mengotori pakaianmu.” Tetapi aku bagaikan seorang yang tuli, bahkan tidak menghiraukan untuk melihat kepadanya seakan-akan aku tidak mendengarnya sama sekali. Aku menggali lubang yang cukup besar agar tujuanku tercapai. Kemudian, dengan sedihnya aku melempar anak tak berdosa itu ke dalam lubang dan segera menimbunnya.

Anak yang malang itu melihat kepadaku dengan ketakutan dan kehairanan. Dengan penuh ketakutan, dia berteriak dan menangis, “Ayah, ayahku sayang, apa ini? Apa yang engkau lakukan, aku sama sekali tidak melakukan kesalahan apapun. Ayah, tolong ayah, kenapa engkau menyembunyikan ku di tanah?” Tetapi aku tetap melakukan pekerjaanku bagaikan orang yang bisu, tuli, dan buta tanpa sedikitpun menaruh perhatian terhadap permohonannya dan pujukannya. Wahai Rasulullah, aku terlalu kejam dan keji dan tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadapnya. Sebaliknya setelah mengubur anakku hidup-hidup, aku mendesah dengan perasaan lega dan merasa puas kerana kehormatanku dan harga diriku telah selamat daripada kehinaan.

* * *

Walaupun kisah ini tidak dipastikan sahih atau tidak, tetapi bagi Cleo, cukuplah kita mengetahui kisah ini sebagaimana kita mengetahui adat jahiliyah yang menanam anak-anak perempuan mereka hidup-hidup. Kerana apa? Hanya kerana menjaga maruah dan nama baik keturunan masing-masing. Jadi, bagi anda yang terlintas di hati untuk membuang anak kandungan sendiri, apakah anda lebih hina dari mereka yang jahil dahulu?

Cukup dengan kisah ini, telah membuatkan hati Cleo rasa terkilan teringatkan bayi-bayi yang kalian lempar merata-rata. Moga Allah ampuni kalian.




Sayu
Cleo

~ Creating Ideas, Developing Words ~

No comments: